Google Search

Saturday 10 March 2012

Kitar Semula Barangan

Berapa ramaikah antara kita yang mengamalkan aktiviti kitar semula bahan buangan di rumah, iaitu dengan mengasingkan barangan yang boleh dikitar semula dengan barangan buangan (sampah) yg lain. Jika ada maka itu seharusnya diberikan pujian kerana kita sedar dan faham akan pentingnya kitar semula barangan. Namun bagi yang masih belum diharap dapat sama-samalah berlajar untuk kita amalkan perkara ini.

Untuk makluman, kadar kesedaran kitar semula barangan di Malaysia khususnya adalah  di paras yg amat rendah berbanding dengan negara maju seperti Singapura yg telah mendahului dalam aspek berkenaan dengan kadar 40 peratus berbanding Malaysia yang masih mengejar sasaran 22 peratus menjelang 2020. Tidak hairanlah sekiranya hari ni di Malaysia ada diantara kita yg mendapatkan sumber rezeki dari tempat pembuangan sampah, kerana banyak nya barangan yg boleh dijual yg terdiri daripada barangan yg boleh di kitar semula.

Cuba kita perhatikan kawasan sekitar perumahan kita disini, saya pasti rata-rata akan dapat melihat banyak nya botol-botol plastik dan tin-tin minuman bersepah begitu sahaja. Ini berlaku berkemungkinan kawasan perumahan kita berjiran dengan kawasan Sekolah. Tetapi di manakah  peranan kita sebagai Warga Taman yang perihatin dengan kebersihan setempat. Tambahan pula majoriti kita disini adalah yang beragama Islam. Seperti nya tidak pernah kita dengari Hadith Nabi (SAW) yang menyebut berkenaan Kebersihan itu adalah sebahagian daripada Iman.

Maka ruangan kali ini mengajak semua Warga Taman agar dapat menyemaikan budaya kitar semula disamping menjaga kebersihan taman kita. Molek kiranya botol-botol plastik, tin-tin minuman dan bahan buangan yang boleh dikitar semula dapat dikutip dan dikumpulkan untuk dihantar ke tempat kitar semula. 1400 tahun dahulu Nabi (SAW) telah menyentuh bab berhubung dengan kitar semula berdasarkan hadith berikut :

Tatkala Rasulullah saw berjalan dan mendapati kambing bebiri milik Maimunah telah mati lalu Baginda bersabda: Adakah kamu tidak mengambil kulitnya lalu kamu samak dan kamu boleh memanfatkannya. Sahabat menjawab: Wahai Rasulullah, ianya adalah bangkai. Baginda bersabda: Sesungguhnya apa yang diharamkan ialah memakannya.

Dengan amalan kitar semula kita mendapat manfaat dari sudut kesihatan, kebersihan dan ekonomi. Dari sudut kesihatan dan kebersihan, ianya dapat mencegah kawasan kita dari wabak denggi. Dengan terbuangnya botol-botol dan tin-tin minuman secara terkawal dapatlah kita menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes. Dari sudut ekonomi, ianya dapat menambahkan duit poket, mungkin tidak banyak tetapi cukup untuk menjadi imbuhan motivasi kepada anak-anak dalam mendidik dan membudayakan amalan kitar semula.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita memupuk budaya kitar semula, agar kehidupan kita di hari  ini dan di hari mendatang menjadi lebih sejahtera.
Sekian.




No comments:

Post a Comment