Google Search

Sunday 27 May 2012

Salam Warga Taman.

Cuti sekolah telah pun bermula. Sudah tentu anak-anaklah yang paling gembira di saat ini. Namun ibu bapa harus lebih memberi tumpuan kepada anak-anak samada memenuhi aktiviti harian bersama anak-anak atau dapat membuat satu perancangan yang baik bagi mengisi masa yang terluang.

Berbagai program dan kem cuti sekolah yang telah mula beroperasi di waktu ni bagi memenuhi masa cuti selama 2 minggu. Peluang ini patut dimanfaatkan oleh ibu bapa dalam mengisi program yang bernilai untuk anak-anak.

Di antara kem-kem motivasi yang dapat Admin senaraikan di sini ialah:

          Inspire Camp - http://www.facebook.com/campinspire
          Summer Camp 2012  - http://www.summercamp.mindvision.com.my/
          KemLangBuana - http://www.kemlangbuana.com/v1/home
          Kem Motivasi Diri Pelajar - http://motivasidiri.com/
          Program Cuti Sekolah 2012 - http://cutisekolah.wordpress.com/

Ini sahaja diantara program-program cuti sekolah yang dapat Admin sediakan buat masa kini. Sekiaranya terdapat sebarang info yang lain untuk program cuti sekolah, bolelah disalurkan kepada Admin. Mudah-mudahan program-program seperti di atas dapat memberi manfaat kepada ibu bapa dan anak-anak.
Sekian.






.

Saturday 19 May 2012

Renungan Bersama

Hadith Nabi S.A.W

مَنْ نَفَّسَ عَنْ مُؤْمِنٍ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ الدُّنْيَا، نَفَّسَ اللهُ عَنْهُ كُرْبَةً مِنْ كُرَبِ يَوْمِ الْقِيَامَةِ، وَمَنْ يَسَّرَ عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ اللهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ، وَمَنْ سَتَرَ مُسْلِمًا سَتَرَهُ اللهُ فيِ الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ، وَاللهُ فِي عَوْنِ الْعَبْدِ مَا كَانَ الْعَبْدُ فِي عَوْنِ أَخِيْهِ  ..

“Siapa yg melepaskan dari seorang mukmin satu kesusahan yg sangat dari kesusahan dunia niscaya Allah akan melepaskan dari satu kesusahan dari kesusahan di hari kiamat. Siapa yg memudahkan orang yg sedang kesulitan niscaya Allah akan memudahkan di dunia dan nanti di akhirat. Siapa yg menutup aib seorang muslim niscaya Allah akan menutup aib di dunia dan kelak di akhirat. Dan Allah senantiasa menolong hamba-Nya selama hamba-Nya itu menolong saudaranya.”





.

Wednesday 16 May 2012

Adab Berjiran Mengikut Perspektif Islam:


Islam adalah agama yang menjaga adab-adab yang baik sesama manusia, apatah lagi menjaga adab dengan jiran-jiran setempat.
Diantara ayat al Quran yang menyentuh tentang perhubungan manusia dengan jiran ialah seperti di dalam surah An Nisa yang bermaksud

“Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki.” (an-Nisaa’: 36)

Di dalam hadis Nabi Muhammad (S.A.W) juga banyak yang memberi penekanan kepada jiran, di antara hadis Baginda yang bermaksud

“Sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berbuat baik kepada jirannya. Dan sesiapa beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia menghormati tetamunya. Dan sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari kiamat, maka hendaklah ia berkata yang baik dan hendaklah ia diam.” (Hadis riwayat Muslim)

Begitulah tingginya kedudukan jiran dari sudut pandangan kaca mata Islam. Maka Islam menganjurkan adab-adab yang baik dalam kehidupan berjiran.

Berikut adalah diantara adab-adab yang di anjurkan terhadap jiran:
- ziarah menziarahi
- memberi salam kepada jiran
- berbaik sangka
- bertolak ansur
- hormat menghormati
- bermanis muka
- bertegur sapa
- bermaaf-maafan
- menutup keaiban jiran
- memelihara pandangan ke rumah jiran
- mendoakan kebaikan kepada jiran
- membantu jiran di dalam kesusahan

Akhir kata, didalam kita mengharungi kehidupan bermasyarakat, jiran adalah orang yang terdekat dengan kita dan menjaga adab berjiran adalah satu kemestian dan amat-amat di tuntut di dalam Islam. Maka marilah kita menjaga adab-adab tersebut dan memenuhi hak-hak jiran.
Sekian.



.

Saturday 10 March 2012

Kitar Semula Barangan

Berapa ramaikah antara kita yang mengamalkan aktiviti kitar semula bahan buangan di rumah, iaitu dengan mengasingkan barangan yang boleh dikitar semula dengan barangan buangan (sampah) yg lain. Jika ada maka itu seharusnya diberikan pujian kerana kita sedar dan faham akan pentingnya kitar semula barangan. Namun bagi yang masih belum diharap dapat sama-samalah berlajar untuk kita amalkan perkara ini.

Untuk makluman, kadar kesedaran kitar semula barangan di Malaysia khususnya adalah  di paras yg amat rendah berbanding dengan negara maju seperti Singapura yg telah mendahului dalam aspek berkenaan dengan kadar 40 peratus berbanding Malaysia yang masih mengejar sasaran 22 peratus menjelang 2020. Tidak hairanlah sekiranya hari ni di Malaysia ada diantara kita yg mendapatkan sumber rezeki dari tempat pembuangan sampah, kerana banyak nya barangan yg boleh dijual yg terdiri daripada barangan yg boleh di kitar semula.

Cuba kita perhatikan kawasan sekitar perumahan kita disini, saya pasti rata-rata akan dapat melihat banyak nya botol-botol plastik dan tin-tin minuman bersepah begitu sahaja. Ini berlaku berkemungkinan kawasan perumahan kita berjiran dengan kawasan Sekolah. Tetapi di manakah  peranan kita sebagai Warga Taman yang perihatin dengan kebersihan setempat. Tambahan pula majoriti kita disini adalah yang beragama Islam. Seperti nya tidak pernah kita dengari Hadith Nabi (SAW) yang menyebut berkenaan Kebersihan itu adalah sebahagian daripada Iman.

Maka ruangan kali ini mengajak semua Warga Taman agar dapat menyemaikan budaya kitar semula disamping menjaga kebersihan taman kita. Molek kiranya botol-botol plastik, tin-tin minuman dan bahan buangan yang boleh dikitar semula dapat dikutip dan dikumpulkan untuk dihantar ke tempat kitar semula. 1400 tahun dahulu Nabi (SAW) telah menyentuh bab berhubung dengan kitar semula berdasarkan hadith berikut :

Tatkala Rasulullah saw berjalan dan mendapati kambing bebiri milik Maimunah telah mati lalu Baginda bersabda: Adakah kamu tidak mengambil kulitnya lalu kamu samak dan kamu boleh memanfatkannya. Sahabat menjawab: Wahai Rasulullah, ianya adalah bangkai. Baginda bersabda: Sesungguhnya apa yang diharamkan ialah memakannya.

Dengan amalan kitar semula kita mendapat manfaat dari sudut kesihatan, kebersihan dan ekonomi. Dari sudut kesihatan dan kebersihan, ianya dapat mencegah kawasan kita dari wabak denggi. Dengan terbuangnya botol-botol dan tin-tin minuman secara terkawal dapatlah kita menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes. Dari sudut ekonomi, ianya dapat menambahkan duit poket, mungkin tidak banyak tetapi cukup untuk menjadi imbuhan motivasi kepada anak-anak dalam mendidik dan membudayakan amalan kitar semula.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita memupuk budaya kitar semula, agar kehidupan kita di hari  ini dan di hari mendatang menjadi lebih sejahtera.
Sekian.




Sunday 4 March 2012

GURINDAM JIWA

Tuai padi antara masak
Esok jangan layu-layuan
Intai kami antara nampak
Esok jangan rindu-rinduan

Anak cina pasang lukah
Lukah dipasang di Tanjung Jati
Di dalam hati tidak ku lupa
Sebagai rambut bersimpul mati

Batang selasih permainan budak
Daun selasih dimakan kuda
Bercerai kasih talak tiada
Seribu tahun kembali juga

Burung merpati terbang seribu
Hinggap seekor di tengah laman
Hendak mati di hujung kuku
Hendak berkubur di tapak tangan

Kalau tuan mudik ke hulu
Carikan saya bunga kemboja
Kalau tuan mati dahulu
Nantikan saya di pintu syurga



Gurindam Jiwa free mp3 downloads




.

Friday 2 March 2012

Muhasabah Diri

Firman Allah SWT :

"Berdoalah kepadaKu, nescaya akan Ku perkenankan bagiMu, sesungguhnya orang-orang yang menyombongkan diri dari menyembah Ku akan masuk neraka Jahanam dalam keadaan hina dina."

(Al-Mukmin : 60)




.

Wednesday 22 February 2012

Pasukan bola sepak (padang/futsal) Taman Mawar Perdana telah ditubuhkan dalam persediaan menghadapi perlawanan persahabatan dengan pasukan-pasukan lain. Satu sesi latihan akan diadakan seperti berikut:

Tempat        : Padang Dataran Nilai
Tarikh          : 25 Febuari 2012
Masa           : 9.00PM

Semua yang terlibat diharap dapat menghadirkan diri dengan pakaian yang bersesuaian. Kepada sesiapa yang berminat untuk menyertai pasukan ini bolehlah memberi nama kepada En. Mizi (No 2 JLN MP 2A) sekiranya belum berbuat demikian. Semua warga taman di jemput hadir. Majulah sukan untuk kesihatan diri.
Sekian.


.

Wednesday 15 February 2012

KESELAMATAN DI RUMAH

Keselamatan di rumah perlulah dititkberatkan, bukan sahaja menjaga harta benda dari kecurian malah apa yang lebih berharga adalah nyawa kita sendiri. Ruangan kali ini ingin kami kongsikan sedikit tip-tip keselamatan di kawasan rumah :

1. Pastikan tidak terdapat objek-objek di luar rumah yang boleh dijadikan senjata atau alat untuk penjenayah membolosi rumah kita. Alat- alat seperti parang, pisau , cangkul , kayu dan sebagainya hendaklah disimpan ditempat yang selamat dan bukan di luar rumah atau di tempat yang mudah didapati. Menurut sumber polis penjenayah akan mendapatkan objek-objek tajam seperti pisau (di dapur) sebagai alat untuk melindungi diri mereka terlebih dahulu. Manakala besi atau kayu di luar rumah akan digunakan penjenayah untuk mengumpil pintu, tingkap dan sebagainya.

2. Bawa penggera alarm kenderaan anda bersama semasa tidur dan hidupkan penggera sekiranya anda mengesyaki ada sesuatu yang mencurigakan di luar rumah anda. Jangan terus keluar dari rumah dan bertindak HERO, tetapi cuba lah mengejutkan jiran-jiran sekeliling dengan bantuan penggera alarm kenderaan anda atau menelefon jiran anda atau menelefon bantuan kecemasan 999.

3. Sentiasa peka dengan keadaan sekeliling rumah anda terutama jika ternampak kelibat orang-orang yang tidak dikenali dalam keadaan yang mencurigakan, sila dapatkan no plat kenderaan dan salurkan maklumat berikut kepada biro keselamatan atau pihak berkuasa.

4. Sila perhatikan anak-anak anda bermain di kawasan yang selamat dan di dalam pengawasan anda. Nasihatkan anak-anak supaya tidak mengikut atau terumpan dengan ajakan orang-orang yang tidak dikenali.

5. Di malam hari, pastikan pintu dan tingkap di kunci rapi dan simpan anak kunci di tempat yang selamat dan mudah untuk anda capai sekira berlaku kecemasan atau kebakaran. Simpan bahan-bahan mudah terbakar di tempat selamat dan sediakan pelan bertindak untuk diri sendiri dan keluarga jika berlaku kebakaran.

6. Dan akhir sekali hendaklah kita bertawakal atau beserah diri kepadaNya kerana Allah sahaja lah yang mengetahui apa yang telah ditakdirkan buat kita. Kita hanya berusaha untuk mendapatkan yang terbaik buat diri dan keluarga.

Firman Allah :
...Cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; dan kepadaNya aku berserah diri dan Dialah yang mempunyai Arasy yang besar.
(At-Taubah ayat 129)


Sekiranya anda mempunyai sebarang tip-tip keselamatan, moleklah kiranya dapat dikongsikan bersama untuk kesejahteraan warga taman.



.

Wednesday 8 February 2012

Makluman

Satu Majlis Perasmian Pusat Perubatan Islam Darussyifa' akan diadakan di Taman Seroja yang mana akan disempurnakan oleh Yg. Bhg. Tuan Guru Dato' Dr. Harun Din al-Hafiz.

Bertempat     : No 11, Jalan Seroja 6, Taman Seroja, BBST Sepang.
Masa             : 9.30am - 2.30pm
Tarikh            : 12 Feb 2012 (Ahad)

Semua muslimin dan muslimat dijemput hadir pada majlis tersebut, mudah-mudahan kita mendapat manfaat.
Sekian.




.

Renungan Bersama

Sabda Rasulullah SAW:
"Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaannya di dalam jiwanya. Allah mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (iaitu dalam keadaan dirinya mulia). 
Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan letakkan kefakirannya antara kedua matanya. Allah cerai-ceraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang kepadanya melainkan dengan apa yang ditakdirkan untuknya (iaitu dalam keadaan hina)"

(Riwayat al-Tirmizi)




Friday 3 February 2012

Salam Maulidur Rasul 2012


Sejauh manakah kasih kita kepada Nabi Muhammad (SAW) Nabi junjungan kita. Adakah dengan hanya menyambut Maulidur Rasul, itu sudah cukup untuk membuktikan yang kita kasih dan sayang kepada baginda. Renung-renungkan lah, kerana itu belum memadai yang kita ini adalah pengikutnya yang setia.

Firman Allah SWT: Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (SAW) kepada kamu maka terimalah serta amalkan, dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintah-Nya). (al-Hasyr: 7)


RASULULLAH SAW diutuskan membawa rahmat ke atas sekalian alam seperti difirmankan Allah yang bermaksud: “Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Al-Anbiya’ : 107)
 

Selamat menyambut Maulidur Rasul buat semua warga Taman Mawar Perdana.

Tuesday 31 January 2012

Salam Tahun Baru 2012


Selamat Tahun Baru 2012 pihak AJK ucapkan kepada semua warga Taman Mawar Perdana. Walaupun tahun 2012 sudah hampir ke penghujung bulan Januari, namun tidak terlambat kiranya untuk kami mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012 untuk semua warga taman dan mohon agar kita semua berada di dalam keadaan sejahtera di dalam lembaran baru ini.


Pihak AJK juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua warga taman yang telah bersama menjayakan aktiviti-aktiviti yang telah dirancang sepanjang tahun 2011. Walaupun mungkin ada beberapa aktiviti taman yang tidak dapat dijayakan pada tahun lepas, kami sebagai pemegang amanah AJK Persatuan Penduduk Taman Mawar Perdana 2012 akan cuba semampu boleh untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang telah direncanakan sepanjang tahun 2012 ini.


Hasil dari mesyuarat AJK yang pertama pada tahun 2012, beberapa aktiviti telah dirancang untuk kebaikan dan kesejahteraan warga taman. Aktiviti-aktiviti ini akan diumumkan dalam masa yang terdekat. Pihak AJK juga mengalu-alukan sebarang cadangan dan komen dari warga taman sekiranya ada, bagi memantapkan lagi program-program yang akan menyusul. Sebarang cadangan dan komen boleh diusulkan kepada mana-mana AJK dan kami dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.
Sekian dahulu buat masa ini.




Biro Siaraya & Promosi Dan Penerbitan